Sunday, February 27, 2011

Yang Patah Tumbuh, Hilang Tak Berganti...

Minggu lepas 23 Febuari 2011 (Rabu) bersamaa 20 Rabiul Awal, kira-kira jam 4.30 petang sedang aku sedang sibuk mengetuk laptop di pejabat mengejar deadline, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Terpapar di skrin kecil itu wajah suamiku.

Terdetik di hati kecilku, kenapa? Jarang sekali suamiku menelefon pada waktu-waktu begini.
Aku mengangkat telefon kedengaran suara suamiku lemah dihujung talian.

"Sayang balik sekarang."
"Napa?"
"Uda dah meninggal."

Berderau darahku seketika, degup jantungku pantas dan fikiranku diputarkan pada perbualan kami sabtu yang lepas.

"Tadi mak telefon abang, Uda masuk hospital."
"Sakit apa?"
"Demam, demam yang hari tu tak sembuh-sembuh. Doktor kata mungkin masalah paru-paru" aku terjeda sebentar mencari kata-kata.

Aku masih ingat semasa pulang pada Tahun Baru Cina kira-kira dua minggu lepas, Uda memang sudah demam. Tapi kata mak mertuaku dia tidak mahu ke klinik.

"Kita tak balik bang tengok Uda?" soalku walaupun aku tahu kesibukan suamiku persis tak kenal siang malam.
"Balik kot sabtu minggu depan kalau dia masih tak sembuh."

Tapi ternyata mendung yang berarak petang itu mengiring perjalanan kami ke Jerantut.
Hanya wajah sugul suamiku sepanjang pemanduannya ke destinasi. Kulihat jernih matanya mula merah menakung kesedih yang teramat sangat.

Air liurnya ditelan beberapa kali. Aku dapat meraskan kesedihan yang ditahan melilit dikerongkongnya. Dalam beberapa ketika kulihat genangan air matanya tidak dapat ditampung lagi. Ya itulah kali pertamaku lihat suamiku bersedih.

Aku dapat bayangkan dikotak fikiranya ketika itu. Wajah abangnya yang sedari kecil menjadi teman suka duka dan bermanja diimbas kembali.

Kereta yang dipandunya dipecut 14o km/j. Melepasi tol Temerloh, langit mendung menggugurkan hujan lebat mengiringi perjalanan kami. Alam sekan mengerti suasana duka ketika itu.

Telefon suamiku berdering lagi. Entah yang keberapa kali sejak kami memulakan perjalanan. Dia menjawab panggilan itu. Aku masih membisu sejak memasuki kenderaan.

Hatiku ingin bertanya tetapi bibirku seakan berat untuk mengungkapkan kata.

"Ke bumi malam ni?"
"Ya malam ni lepas Magrib. Jenazah dah dibawa ke masjid "menghabiskan kata-katanya itu gear ditukar dan padal minyak ditekan lagi menambahkan kelajuan.

8.00 malam, kami tiba di Masjid Tebing Tinggi. Kami lekas-lekas keluar dari kereta. Kelihatan solat jenazah mahu dimulakan.

Aku masuk ke ruang solat wanita. Kelihatan riak wajah mak mertuaku tak seperti selalu. Kakak iparku dan saudara-mara terdekat memberikan sokongan pada mak. Aku... kehilangan kata-kata terasa seakan hatiku tertusuk belati.

Pasti hati mak berasa lebih daripada itu melihat anak yang dibesar selama 33 tahun kini terbujur kaku di depan mata. Perih yang tidak dapat digambarkan.

Selesai solat jenazah. Jenazah arwah Uda di bawa ke tanah perkuburan yang terletak lebih kurang 100 meter daripada masjid.

Kami menaiki semula kereta untuk ke tanah perkuburan. Sebaik sahaja pintu kereta tempat pemandu ditutup, aku lihat kepala suamiku diletakkan di stereng. Kini empangan air matanya pecah. Esak tangis memecah keheningan malam. Ya, kali ini juga pertama kali kulihat dia menangis.

Setibanya di tanah perkuburan, kulihat saudara-mara dan rakan-rakan arwah sudah menanti. Itulah pengalaman pertama aku melihat pengebumian pada waktu malam. Talkin dibaca aku tertunduk sahaja mengisafi dan mendoakan kesejahteraan arwah.

Al-Fatihah buat Hasnizam b. Abdullah Hashim, semoga rohnya tenang di sana.
Amin....

P/s: Hatiku luka melihat 'dia' menghembuskan nikotina lagi.....

2 comments:

CintaZulaikha said...

ucap takziah pada famili Jiha yer...sian ngn dy, musti makin byk isap rokok nanti. yg penting jaga kesihatan masing2..

Diari 929 said...

Yelah... sian tgk mak muka dia sayu je. Jiha risau ni Anip masih isap rokok risau, risau, risau...
Terima Kasih Kak :)