Tuesday, July 29, 2008

Kecilnya Dunia Ezora?


Slot Akasia yang disiarkan setiap 6.30 petang sehingga 7.30 di TV3. Slot ini menjadi jamuan mata penonton setiap Isnin sehingga Khamis. Antara drama bersiri yang pernah disiarkan di slot ini antaranya: Spa Q, Bella dan yang sedang menjadi bualan hangat peminat Akasia adalah “Ezora”.
Pada awal episod Ezora sememangnya kisahnya menarik dan dilihat amat berlainan dengan kisah-kisah bersiri drama “swata” yang biasanya berlatarkan dunia koprat dan glamor. Permulaanya yang santai berkisar tentang kehidupan seorang gadis kampung bernama Ezora yang mengalami masalah kewangan untuk melangsungkan perkahwinanan dengan tunangnya Reza. Reza mengambil keputusan mencari pekerjaan di Kuala Lumpur setelah dibuang kerja. Dugaan demi dugaan sepanjang ikatan pertunangan mereka sehingga hajat Ibu Ezora untuk melihat anaknya menjadi raja sehari tidak kesampaian, apabila panggilan Illahi mendahului rancangan Ezora.
Namun setelah Reza berhijrah ke Kuala Lumpur kisah Ezora yang disangkakan berbeza dari drama Akasia sebelum ini, nyata meleset! Bagi yang mengikuti drama bersiri ini, tentu mereka mengalami kecelaruan watak. Ini bukan bermakna mereka mengalami kecelaruan personaliti. Tetapi watak-watak dalam kisah ini, pasti sahaja ada kaitan antara satu sama lain. Jika tidak ada kaitan darah, pasti mempunyai kaitan sejarah silam mereka.
Berbalik kepada kisah Ezora, atas nasihat Kak Ton, Ezora juga ke Kuala Lumpur untuk mencari Reza. Padahal Reza sudah pun terlanjur dengan Leeya dan Leeya merancang untuk berkahwin dengannya. Ezora yang tidak tahu menahu hal itu mendesak Reza bernikah denganya segera. Leeya yang mendapat tahu Reza sudah pun bernikah dengan Ezora memaksa Reza menceraikan Ezora. Tanpa pengetahuan Reza, ketika itu Ezora telah hamil sebulan. Manakala Adrean iaitu abang kepada Leeya pula telah jatuh hati apabila melihat Ezora. Kisahnya menjadi rumit dan serumit-rumitnya apabila Leeya rupa-rupanya adik kepada Ezora. Ezora dan Leeya adalah adik-beradik satu ibu. Adrean yang disangkakan abang kandung kepada Leeya hanyalah sepupunya.
Madam Ezzah atau lebih senang dipanggil Onni oleh cucu-cucunya adalah dalang kepada semua tragedi yang berlaku. Banyak pembunuhan yang telah dilakukan melalui orang suruhannya Ringgo. Leeya pula telah membunuh Salmah, yang pada mulanya disangka ibunya. Salmah mempunyai nama yang sama sepertu ibu Leeya. Salmah sebenarnya ibu kandung kepada Adrean hasil hubungan sulit Salmah dengan papa Adrean iaitu anak kepada Onni.
Salmah dibunuh oleh Leeya, kerana Leeya mengesyaki Salmah membuat rancangan untuk memporak-perandakan keluarganya. Onni telah mengetahui hal sebenar, membunuh pula Pak Zaki kerana berkomplot dengan Salmah. Pak Zaki adalah ayah kepada Ezora yang merangkap pemandu peribadi Puan Mona, yang juga rakan baik kepada anak Onni iaitu Salmah. Huh! Peningkan?
Yang paling terkini pada episod 42, orang suruhan Madan Ezzah iaitu Ringgo telah pergi ke kampung Ezora untuk menyiasat latar belakangnya. Nyata sekali hasil penyiasatanya, mengikut kata orang kampung Ezora bukannya anak angkat sebaliknya Lisa, adiknya. Ringgo pula menyembunyikan perkara sebenar dan menyatakan kepada Madam Ezzah bahawa Ezora adalah cucunya yang sebenar dan Lisa yang sebenarnya cucu Madam Ezzah disangkal untuk menjaga kepentingan anak kandungnya Leeya. Ini kisah Keluarga 69 atau apa? Bak kata orang utara, pi Mai, pi mai tang tu!
Sebagai penonton, terasa kesal apabila melihat Ezora semacam hilang identiti Melayu. Nama gelaran seperti Madam atau nama watak seperti Adrean, Bob, Joshua dan Ringgo digunapakai. Memang tidak nampak seperti orang Melayu langsung! Atau ia mencerminkan Melayu murtad?
Sungguhpun begitu, tahniah kepada pelakon-pelakon Ezora yang cuba sedaya upaya menghidupka lakonan. Ada di antara pelakon utama yang membawa karekternya dengan baik sekali dan ada pula berlakon sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

No comments: